Sunday 19 February 2017

Sebelum pembahagian harta pusaka dibuat, waris perlu tahu beberapa ‘pemotong’ yang perlu dilalui oleh harta pusaka

Lumrah kehidupan setiap yang hidup pasti akan mati. Segigih mana harta yang kita cari semasa hidup tetap tidak boleh dibawa mati kecuali 3 perkara iaitu ilmu yang bermanfaat, sedekah jariah dan doa anak yang soleh.
Apabila ajal menjemput seseorang maka sesaat selepas itu harta yang selama ini menjadi miliknya telah bertukar tangan menjadi milik waris-waris yang berhak. Anda meninggal jam 3.30pm, maka pada jam 3.31pm harta anda telah menjadi harta waris dan ia perlu difaraidkan. Lambat diurus maka akan timbullah isu-isu lain yang akan menyebabkan proses pembahagian harta menjadi semakin rumit. Waris-waris mula bertelagah, hubungan makin renggang, doa kepada si mati kian dilupakan yang sentiasa disebut hanyalah kemarahan atau rungutan kerana sukarnya mengurus pusaka si mati.
Namun, buat mereka yang masih mempunyai jiwa suci yang ingin segera menyelesaikan urusan amanah harta si mati didunia maka ada beberapa perkara perlu diketahui sebelum pembahagian harta pusaka dibuat kerana adanya beberapa 'pemotong' yang perlu dilalui oleh harta pusaka.
  • Pembayaran Mengenai Urusan Pengebumian. Ini hanya terhad kepada upah berkaitan urusan pengebumian. Kenduri-kendara atau pemberian hadiah kepada tetamu yang hadir perlu dari poket waris sendiri – tidak dibenarkan menggunakan harta pusaka untuk perbelanjaan ini.
  • Urusan Hutang-piutang sama ada kereta, rumah, hutang kepada bank seperti pinjaman peribadi dan pinjaman daripada rakan-rakan.
  • Urusan Percukaian yang tertunggak atau zakat yang masih belum diselesaikan.
  • Hibah. Waris juga perlu tahu, samada ketika hidup arwah ada meng-hibahkan harta tertentu kepada insan tertentu. Sudah pasti, harta dihibahkan tidak boleh difaraidkan. Juga, pastikan perjanjian hibah itu mempunyai dokumen hitam dan putih.
  • Harta Sepencarian. Adakah harta sepencarian dimiliki bersama isterinya; misalnya rumah, hartanah tertentu, kenderaan dan simpanan tertentu? Mempunyai dokumen deklarasi harta sepencarian adalah lebih memudahkan urusan tuntutan harta sepencarian.
  • Wasiat 1/3. Bagaimana dengan wasiat, adakah arwah telah mewasiatkan 1/3 dari harta untuk tujuan amal jariah. Adakah arwah ada menyediakan wasiat melantik pentadbir harta pusakanya.
Setelah kesemua ini diketahui dan diselesaikan, barulah harta pusaka itu di Faraidkan. Segalanya dapat dipermudahkan sekiranya sewaktu hidup, pemilik harta telah merancang harta pusakanya. Waris-waris tidak perlu bertelagah atau bermasam muka. Hubungan kekeluargaan terus kekal bahagia.
Mereka yang mempunyai harta walaupun sebuah rumah atau sebuah kereta atau wang simpanan perlu membuat perancangan harta pusaka walaupun dengan hanya membuat sesuatu yang boleh membantu percepatkan urusan tuntutan harta pusaka.

No comments:

Post a Comment