Wednesday 22 February 2017

Kakak bolot tanah pusaka lebih 20 tahun

KISAH tiga minggu lalu tentang ketidakadilan seorang ibu dalam memberi bahagian harta pusaka milik arwah suaminya kepada anak-anak menyentuh hati saya untuk turut menceritakan masalah dihadapi oleh suami.
''Namun orang yang tidak berlaku adil itu bukanlah ibunya, tetapi kakaknya yang memegang amanah untuk adik-adik setelah ibu bapa mereka meninggal dunia. Sehingga kini lebih 20 tahun arwah meninggal dunia, pusaka itu masih tidak diagihkan mengikut faraid kepada anak-anak yang berhak.
''Sebaliknya kakak ipar saya itu, Kak Kay masih menguasai harta pusaka. Cuma sebahagian kecil diberikan kepada adik-adik perempuan manakala yang lelaki seramai tiga orang masih tidak mendapat hak mereka,'' ujar Noraien panjang lebar ketika saya hubungi setelah membaca e-melnya.
''Suami saya Miz memang tak suka bercakap pasal harta kerana tidak mahu hatinya sakit. Pernah dia bertanya pada Kak Kay tentang bahagiannya tetapi jawapan yang diterima amat memedihkan telinga. Kak Kay suka ungkit cerita lama kerana membesarkannya yang ketika itu bersekolah menengah.
''Masalahnya, bukan duit ringgit Kak Kay yang digunakan untuk beri makan minum mahupun belajar, semuanya harta peninggalan arwah, jadi janganlah ungkit cerita lama. Cerita itupun telah berlaku lebih 20 tahun, tentu banyak yang telah Kak Kay terima daripada imbuhan dan pulangan harta peninggalan arwah yang semuanya dalam genggaman Kak Kay.
''Saya berkahwin dengan Miz lebih enam tahun, kini dah ada dua anak, umur pun dah lebih 30 tahun. Saya reda hidup serba sederhana walaupun agak terhimpit setelah berhenti kerja untuk menjaga anak.
''Saya sedar saya tidak sepatutnya ikut campur dalam pembahagian pusaka tetapi sebagai isteri, saya kesian dengan Miz yang sering merasa terpinggir akibat sikap kakaknya.
''Mulanya saya tak tau perkara ini sehinggalah satu hari Miz meluahkan isi hatinya. Soalnya mengapa setelah lebih 20 tahun ibu dan ayah meninggal, Kak Kay masih tak mahu membahagikan pusaka kepada mereka adik beradik.
''Miz sendiri tidak tahu secara jelas harta milik arwah, kecuali ada sekali dua Kak Kay terlepas cakap dan daripada mulut saudara-mara. Kata Kak Kay, tapak tanah untuk rumah ada tiga lot khas untuk tiga adik beradik perempuan, tapi apa hal dengan tiga anak lelaki, kak Kay tak sebut pun?
''Setiap tahun Kak Kay akan buat kenduri arwah dan korban lembu, itu semua katanya duit hasil pusaka tanah getah dan kelapa sawit milik arwah. Bila ditanya berapa ekar semuanya, Kak Kay tak mahu beritahu secara jelas, alasannya tanah itu kongsi dengan emak saudara yang lain.
''Ditanya apakah tanah tersebut sudah dibahagi secara jelas, sebab tak mahu ada perbalahan kelak dengan emak-emak saudara lain, kata Kak Kay semua dia sudah bereskan. Malangnya kami sendiri tak tahu adakah tanah itu milik arwah ibu atau ayah mertua saya, di mana, di tanam kelapa sawit atau getah? Semuanya samar-samar.
''Sepatutnya, sebagai pemegang amanah dia harus memberitahu apa juga harta peninggalan arwah, di mana dan berapa jumlahnya, kemudian membahagikan semua pusaka itu mengikut faraid kerana adik-anaknya sudah berkeluarga dan Kak Kay sendiri hampir berusia 50 tahun. Nak tunggu berapa lama lagi.
''Saya tidak tahu kenapa Kak Kay enggan berbuat demikian. Mungkin takut bahagian yang diterimanya sedikit. Selagi dia tidak melaksanakan amanah yang dipikulnya, selagi itulah dia berdosa dan setahu saya, selagi itulah roh kedua-dua arwah terseksa kerana urusan dunia yang arwah tinggalkan masih belum selesai.
''Namun apa yang jelas kami lihat makan minum dan cara hidup keluarga Kak Kay anak beranak amat mewah. Bayangkan anaknya yang bersekolah rendah tak ke sekolah kalau belanja kurang RM10 sehari. Saya fahamlah kalau di KL atau kota besar tetapi kami bukan duduk di sana.
''Itu belum masuk jenama pakaian mereka, ansuran dua buah kereta besar, motosikal, gaji pembantu rumah dan belanja rumah besar mereka. Dianggarkan perbelanjaannya mencecah RM4,000 sebulan. Sedangkan Kak Kay hanya kerani sementara suaminya peniaga kecil. Jangan marah kalau kami tuduh atau mengumpat Kak Kay sebab perbuatannya yang membuatkan kami berfikiran begitu.
''Awal tahun seperti sekarang memang kami perlukan banyak wang untuk perbelanjaan keluarga terutama anak yang baru masuk sekolah. Pendapatan Miz pun kecil, sebab itu kami perlukan sedikit sebanyak pusaka arwah. Kami tak minta kalau tak ada. Ini arwah ada tinggalkan harta jadi salahkah kalau kami bertanyakan hak kami? Tapi macam biasalah Kak Kay buat bodoh.
''Saya pernah nasihatkan Miz, janganlah harapkan harta pusaka itu. Jadi kita kenalah cari sendiri. Adik beradik Miz yang lain tak berani bersuara, apa lagi nak bertanya, sebab takut Kak Kay tak beri langsung harta tersebut, jadi kena diam walaupun dalam hati semuanya tak puas hati, sering mengutuk dan mengumpat Kak Kay.
''Setahu saya, arwah mertua memiliki banyak barang kemas tapi semuanya Kak Kay simpan. Hingga kini tidak ada seorang pun anak-anak arwah dapat barang kemas tersebut walaupun sebentuk cincin. Apa yang jelas, badan Kak Kay dan anak-anak perempuannya yang masih kecil sarat dengan barang kemas!
''Tujuan saya bercerita bukan nak mengumpat tapi ingin menyedarkan Kak Kay supaya insaflah dan jalankan amanah seperti sepatutnya sebab anda akan dituntut kemudian hari,'' pesan Noraien menutup cerita tentang kakak iparnya.


Sumber: utusan online

No comments:

Post a Comment