Sunday 17 September 2017

PANDUAN URUS PUSAKA YANG RAMAI SEBELUM NI TERSILAP BUAT!!!

Saban hari banyak berita kematian yang kita dengar. Sama ada meninggal dunia disebabkan penyakit atau kemalangan. Kematian adalah satu kemestian bagi setiap manusia. Namun, bila berlaku kematian mengejut kebanyakkan waris akan terkelu dan tak tahu apa yang perlu dilakukan.
Jom tambah ilmu, apa perkara perlu dilakukan jika berlaku kematian pada ahli keluarga terdekat kita.



1. MENGURUSKAN JENAZAH
Ramai mengetahui mengenai segerakan pengurusan jenazah namun tak ramai faham siapa yang perlu menanggung kos pengurusan jenazah.

Jika yang meninggal itu si suami, maka kos pengurusan jenazah perlu diambil daripada harta pusaka suami walaupun si isteri seorang jutawan. Harta yang diambil hendaklah pada kadar yang sepatutnya pada kebiasaan mengurus jenazah mengikut keadaan ekonomi si mati. Tak boleh bermewah-mewah atau menyukarkan proses pengurusan jenazah.

Jika yang meninggal itu isteri, mengikut mazhab Syafie kos pengurusan jenazah ditanggung oleh suami sekalipun bagi isteri yang diceraikan yang meninggal dalam keadaan masih dalam iddah. Jika si suami tiada duit, maka dibolehkan meminjam harta pusaka si isteri namun perlu dicatat sebagai hutang.

Begitu juga jika kematian anak-anak yang masih dalam tanggungan ibu bapa, yang menanggung kos pengurusan jenazah adalah si ayah. Namun, jika ada yang ingin memberi sumbangan sebagai bakti terakhir kepada si mati maka dibolehkan. Takda masalah.


2. MEMBAYAR HUTANG SI MATI
Mana-mana hutang si mati dibayar guna harta pusaka si mati.

Jika si mati tiada duit, boleh menjual mana-mana harta si mati untuk mendapatkan duit bagi menjelaskan hutang. Perlu bincang dengan kesemua waris supaya tiada isu berbangkit selepas ini. Keutamaan untuk waris terdekat membeli harta tersebut. Jika tiada, boleh dijual pada orang luar.

Hutang dengan Allah perlu dibayar terlebih dahulu contohnya, hutang zakat (zakat fitrah, zakat harta, zakat pendapatan, zakat emas, dll), fidyah, nazar, haji fardu (jika berkemampuan), kafarah dll.

Hutang dengan manusia WAJIB dijelaskan kerana sabda Rasulullah, "Roh orang yang berhutang adalah tergantung sehingga hutangnya diselesaikan.."

Jika si mati tiada harta tapi masih banyak hutang, maka atas dasar bakti terakhir kepada si mati, waris-waris boleh tolong bayarkan.


3. TUNTUTAN HARTA SEPENCARIAN
Jika isteri si mati ingin menuntut harta sepencarian maka perlu dimaklumkan selepas segala hutang diselesaikan.

Salahfaham masyarakat: Isteri akan dapat 1/2 daripada harta sebagai tuntutan harta sepencarian.

Fahaman ini kurang tepat kerana kebiasaannya, hakim hanya memberikan sebanyak 1/3 atau 1/4 sahaja. Berapa nilai harta sepencarian yang bakal diterima hanya dapat ditentukan oleh hakim sahaja selepas diambil kira SUMBANGAN isteri melalui PEMBUKTIAN yang diberikan.
Perlu faham, tiada hukum ditetapkan dalam al-quran atau hadis berkenaan harta sepencarian. Ia dibuat atas dasar maslahah masyarakat. Sebab tu hakim sangat-sangat berhati-hati untuk memberikan tuntutan harta sepencarian kerana bimbang terambil harta pusaka si mati yang menjadi hak anak yatim.

Harta sepencarian boleh dituntut yerr, Mahkamah Syariah melayan tuntutan harta sepencarian berdasarkan maslahah masyarakat.

Isteri si mati mesti memaklumkan sekiranya ingin menuntut harta sepencarian supaya tiada isu dikemudian hari. Jangan lepas harta pusaka dah diagih tiba-tiba datang tuntut harta sepencarian plak.

Anak-anak, kalau ayah meninggal dunia tolong tanya mak nak tuntut atau tak harta sepencarian. Jika mak nak tuntut tolong bantu usahakan proses tuntutan. Jika tidak, takda masalah. Jika mula-mula mak cakap taknak tuntut tiba-tiba nak tuntut balik, persetujuan yang pertama (tak tuntut) digunapakai. Terangkan pada ibu-ibu anda semua supaya tak jadi isu dikemudian hari yang menyebabkan hubungan jadi retak.

Hanya harta yang dapat sepanjang tempoh perkahwinan iaitu harta yang dicari, ada usaha untuk dapatkan harta tersebut sahaja boleh dituntut sebagai harta sepencarian. Harta yang diterima daripada harta pusaka atau hibah tak boleh dituntut sebagai harta sepencarian.


4. TUNAIKAN WASIAT
Jika si mati ada membuat wasiat maka ia perlu ditunaikan selagi tak bertentangan dengan hukum syarak.

Nak tahu patuh hukum syarak atau tak perlu lihat kepada 2 perkara iaitu,

a) Kadar Harta
Tak boleh lebih daripada 1/3 daripada jumlah harta bersih. Jika lebih wasiat hanya tergunapakai setakat 1/3 sahaja.

b) Kemana wasiat diberikan
Mesti mematuhi hukum syarak contohnya beri wasiat kepada rumah anak yatim, pusat kebajikan, pusat tahfiz & lain2 tempat yang baik.

Jika wasiat beri harta untuk pembinaan sesuatu yang diharamkan oleh hukum syarak contohnya pembinaan kilang arak maka wasiat tadi tak perlu ditunaikan.

Wasiat yang dibuat kepada waris akan TERBATAL secara automatik berdasarkan hadis nabi, "Tiada Wasiat Kepada Waris.." Jika nak laksanakan juga WAJIB dapat persetujuan daripada kesemua waris.

Persoalan tentang wasiat bersyarat,
(Perlu pastikan segala syarat dipenuhi sebelum wasiat ditunaikan)

Contohnya, ayah berwasiat jika ayah meninggal dunia di tanah suci maka seekar tanah dihujung kampung diberikan kepada pusat tahfiz. Katakan ayahnya meninggal dalam perjalanan ke tanah suci (belum sempat sampai tanah suci), maka wasiat tadi terbatal sebab tak penuhi syarat.


5. PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA
Ini adalah perkara terakhir yang perlu dibuat selepas semua yang diatas (point 1-4) dilakukan. Jangan terus cerita pusaka selagi perkara diatas tak selesai.

Jangan pusaka dah dapat tapi hutang si mati tak bayar, wasiat tak ditunai.

Cara menguruskan pembahagian pusaka,
a) Pastikan diurus segera supaya tak berlaku kematian berlapis.

b) Lantik seorang pentadbir dalam kalangan waris untuk mengurus pusaka si mati.

c) Perbincangan hanya dilakukan antara waris-waris sahaja. Elakkan orang luar termasuk pasangan waris. Kita bimbang mereka ini yang akan menjadi 'penasihat 25%' yang menyebabkan proses perbincangan terganggu.

d) Sediakan list hutang & senarai harta si mati supaya takda harta yang tertinggal semasa proses tuntutan yang menyebabkan terpaksa ulang bicara.

e) Dapatkan terlebih dahulu bahagian faraid bagi setiap orang waris. Semua waris perlu maklum berapa nilai yang layak diterima. Jika selepas itu, waris-waris setuju untuk bahagi secara muafakat maka tak jadi masalah. Tapi bahagian faraid kena maklum dulu baru buat muafakat.
.
Kita taknak jadi isu bila awal-awal dah muafakat sebelum masing-masing jelas berapa nilai yang layak diterima. Faraid, hukum Allah yang perlu didahulukan. Jangan terus setuju muafakat sebelum tahu bahagian yang diterima dalam faraid.

Jika selepas mengetahui bahagian faraid dan semua waris setuju untuk taknak ikut faraid (nak bagi samarata) takda masalah.

Hukum faraid perlu diraikan terlebih dahulu. Tapi tak wajib ambil. Andaikata ada yang bagi samarata takda masalah. Nak tolak bahagian pun takda masalah.

Haaa, dah tahu ke kalau anda mati faraid anda macam mana? Jangan lupa maklum dekat waris-waris waktu hidup ni tau. Senang nanti diorang nak urus.

f) Proses di Pejabat Pusaka Kecil (bagi harta dibawah RM2juta) dan Mahkamah Tinggi Sivil (bagi harta atas RM2juta) perlu libatkan kesemua waris termasuk waris yang menolak bahagian.

Jika ada waris yang tak boleh hadir bicara kuasa di Pejabat Pusaka Kecil, boleh minta mereka isi borang DDA (Borang persetujuan waris)

Jika ada waris tak dapat hadir, borang DDA pun takda maka proses bicara kuasa akan ditangguhkan.

g) Kesemua waris perlu memahami bahawa penerimaan faraid adalah penerimaan HARTA beserta TANGGUNGJAWAB. Lelaki diberi lebih disebabkan mereka bertanggungjawab menjaga kebajikan waris-waris yang lain. Pastikan anda jalankan tugas sebagai penerima faraid. Lebih-lebih lagi tanggungjawab kepada anak yatim.

KOS PENGURUSAN PUSAKA
Katakan semua waris tak nak keluarkan kos kecuali abang yang sulong. Maka, abg long boleh masukkan kos pengurusan pusaka sebagai hutang. Boleh tolak daripada harta pusaka si mati. Waris lain tak boleh pertikai. Hutang memang wajib dibayar. Namun, kos mestilah dikira pada kadarnya, tak boleh claimed berlebih-lebihan.
.
.
Turutan ini bukanlah wajib untuk diikuti tapi ia sekadar panduan supaya harta si mati dapat diurus dengan baik. Ia sebagai satu langkah yang selamat. Kita taknak dah siap bahagi, hutang belum selesai, wasiat tak ditunai, mak tuntut plak harta sepencarian. Biar jelas daripada awal. Hak harta pusaka perlu diutamakan. Jangan bahagi harta sebelum tunaikan segala hak harta pusaka (hutang & wasiat).

Urus segera. Jangan lepas bertahun-tahun baru bincang. Buang mentaliti siapa cakap pasal harta lepas ada orang meninggal sebagai seorang yang tamak. Urus segera sebab kita bimbang ada yang akan terguna/termakan harta orang lain/anak yatim. Besar dosanya ambil hak orang lebih-lebih lagi ambil harta anak yatim.
.
.
===========
PERSOALAN
===========
1. BAGAIMANA JIKA GUNAKAN HARTA PUSAKA UNTUK KENDURI ARWAH?
Boleh jika dipersetujui oleh kesemua waris faraid si mati yang cukup umur. Wajib berunding dengan semua waris. Jika ada anak dibawah umur (anak yatim), maka tak boleh gunakan harta pusaka untuk kos kenduri arwah. Jika si ibu (isteri si mati) nak guna juga harta pusaka untuk kos kenduri arwah maka perlu ditolak daripada bahagian faraid yang diterima oleh si ibu (isteri si mati) sahaja.

Contohnya, kos kenduri arwah RM1000. Isteri si mati menerima sebanyak 1/8 drpd jumlah pusaka si mati. Katakan jumlah diterima (1/8) bersamaan RM10,000 maka pada saat pembahagian faraid nanti isteri hanya layak ambil RM9000. (RM1000 dah ditolak kos kenduri arwah)

2. AYAH ADA BUAT WASIAT BERI HARTA DEKAT MASJID. BILA DIKIRA JUMLAH WASIAT MELEBIHI 1/3 DARIPADA HARTA. BAGAIMANA DENGAN LEBIHAN WASIAT TERSEBUT?
Tunaikan wasiat ayah setakat 1/3 sahaja. Jika nak beri lebih (ikut yang dinyatakan dalam wasiat) lebihan itu perlu dapat persetujuan semua waris. Namun, jika ada melibatkan anak yatim tak boleh beri lebih daripada 1/3.

3. APA ITU PEMBERIAN SECARA HIBAH?
Pemberian daripada satu pihak kepada satu pihak sewaktu hidup atas dasar kasih sayang tanpa harapkan apa-apa balasan. Tak semestinya perlu buat tukar nama.
(Perbincangan tentang hibah terlalu panjang untuk dibahas disini)

4. PADA WAKTU PERBINCANGAN SEMUA WARIS SETUJU DENGAN PEMBAHAGIAN. TAPI BEBERAPA TAHUN KEMUDIAN TIMBUL RASA TAK PUAS HATI.
Isu dikemudian hari tak digunapakai. Sebab tu waktu bincang pastikan semua waris betul-betul faham. Jelas berapa banyak harta, berapa banyak hutang yang perlu dijelaskan, berapa baki harta yang tinggal yang akan difaraid.

Mana-mana waris yang mempunyai hutang dengan si mati perlu maklumkan. Jangan diam tapi bising dikemudian hari.

5. AYAH SAYA MENINGGALKAN HARTA. TAPI SEMUA HARTA DIGUNAKAN UNTUK MEMBAYAR HUTANG. BAGAIMANA DENGAN BAHAGIAN PUSAKA?
Tiada harta pusaka yang ditinggalkan kerana harta telah habis digunakan untuk membayar hutang.

Faraid muncul dengan syarat ada pewaris, waris dan harta.

Jika telah guna kesemua harta si mati tapi hutang masih ada, sunat bagi waris-waris untuk membayar hutang tersebut.

6. ARWAH ADA SEEKOR LEMBU. SEMUA WARIS SETUJU UNTUK GUNAKAN LEMBU TERSEBUT UTK KENDURI. SALAH SEORANG WARIS MASIH BERADA DI BAWAH UMUR. APA YANG PATUT DILAKUKAN.
Boleh sembelih lembu tersebut tapi perlu dinilai dan difaraidkan terlebih dahulu lembu tersebut. Bahagian anak yatim perlu diberi kepadanya. Nilai dan bayar dengan duit. Pemegang amanah anak bawah umur tiada hak membuat keputusan untuk mengurangkan hak si yatim tadi.

7. BAGAIMANA FARAID GOLONGAN POLIGAMI?
Semua isteri-isteri berkongsi samarata tanpa mengira isteri yang senior atau junior.


Silakan SHARE jika bermanfaat

Wednesday 13 September 2017

Risiko Sambung Bayar Kereta Yang Ramai Tidak Tahu!

Kami mendapat banyak pertanyaan dari rakan-rakan berkenaan hal sambung bayar kereta. Antara masalah yang dikongsikan untuk sambung bayar kereta adalah seperti berikut:
  • pinjaman mereka tidak lulus
  • nama berada dalam senarai hitam
  • tidak mempunyai cukup deposit


Melupuskan (disposed off), mengalihkan (removed) atau menjual kenderaan tersebut tanpa kebenaran bertulis daripada bank atau dengan mana-mana cara lain, fraud (menipu) atau mencuba untuk fraud (menipu) bank, adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 38 Akta Sewa Beli.
Nota ini ditulis oleh Tuan Mohd Fadil Mohd Yusof, seorang peguam di Tetuan Dzul Iskandar & Co. Semoga nota ini membantu anda dalam membuat keputusan membeli kereta.
Jika disabitkan dengan kesalahan tersebut, pesalah akan dikenakan denda dalam jumlah tidak melebihi RM10,000.00 atau dipenjarakan bagi tempoh tidak lebih dari 3 tahun atau kedua-duanya sekali.
Antara risiko kereta sambung bayar kepada pemilik asal
Anda mungkin disaman atas kesalahan orang yang sambung bayar kenderaan anda.
Anda mungkin disoal siasat oleh polis jika kenderaan tersebut terlibat dalam kes jenayah.
Anda mungkin disaman bank jika orang yang sambung bayar tidak membayar ansuran bulanan kepada bank. Akibatnya, anda mungkin diisytihar bankrap jika hutang penghakiman melebihi RM30,000.
Jika berlaku kemalangan ke atas orang yang sambung bayar dan kereta tersebut telah luput insuran dan cukai jalan, anda mungkin disaman atas kapasiti individu untuk kemalangan tersebut.
Antara risiko untuk orang yang sambung bayar kenderaan
Jika pemilik asal meninggal dunia, anda tidak dapat memperbaharui insuran dan cukai jalan. Kenderaan tersebut juga berkemungkinan akan dinamakan atas nama pewaris ketika proses perbicaraan probet.
Anda tidak dapat menukar nama anda setelah kereta tersebut sudah habis dibayar jika pemilik asal sudah berpindah ke tempat lain.
Ada kemungkinan anda akan disoal siasat jika pemilik asal membuat laporan kereta mereka hilang.

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. TQ

Wednesday 22 February 2017

(Mengamuk) "Aku dah beli tanah pusaka ni. Aku beli dengan Abg Aji kau!!!"


Isu bergaduh pasal tanah pusaka ni dah banyak kali berlaku dalam masyarakat kita. Hanya sebab harta hubungan kekeluargaan boleh terputus macam tu je. Sebab harta manusia boleh berubah. Tak kira lah kalau dah ada title haji or hajah ni. tetap tak nak kalah bab-bab bolot harta pusaka ni.

Kisah ni admin jumpa waktu jalan-jalan dekat blog amazingnara.com. Semoga boleh jadi ikhtibar buat kita semua yang masih hidup. Kisah ini sedih ni dilalui oleh seorang cleaner yang dipanggil Kak Cik. Jom baca.


Selepas 2 tahun tak balik kampung,

Abang jual tanah pusaka sebab nak pakai duit?


Pak Imam suruh redha je.

Manusia boleh berubah sekelip mata hanya kerana harta.

Ini pula komen admin,

1) Abang sebenarnya takda hak untuk jual tanah pusaka tanpa mendapat persetujuan daripada waris-waris. Kalau pun dah terjual, wang hasil jualan perlu difaraidkan dan bukannya dibolot sendiri. Senang cerita makan harta haram.

2) Nak beli rumah walaupun kita takda hak nak tanya, tapi rasanya tak salah tanya kalau-kalau tanah tu tanah pusaka ke? Tanya dah selesaikan pembahagian. Ingatkan kalau dijual hasilnya nanti perlu dibahagi mengikut faraid.

3) Pak Imam pun, bukan isu redha. Setidaknya nasihatkanlah sedikit buat mereka yang makan harta secara batil tu. Bukannya hanya suruh redha. Hak orang tetap hak orang. Redha tu boleh, tapi tengok juga keadaan.. Ni macam mengalakkan orang ambil hak orang lain plak.

4) Sebab tu perlu rancang harta pusaka selagi kita masih hidup ni. Bila meninggal kita takkan dapat menduga macam mana reaksi anak-anak kita. Sebab harta sanggup menzalimi keluarga sendiri. Fikirkanlah. Rancang harta ni bukan wajib buat HIBAH, WASIAT je, rancang juga bagaimana pengurusan harta boleh segera dibuat. Lambat buat jdi macam ni lah. Waris bergaduh. Bayangkan kalau diselesaikan segera, waris-waris mudah muafakat. Lantik pihak ke-3 yang takda kepentingan untuk urus harta pusaka buat waris.


Kakak bolot tanah pusaka lebih 20 tahun

KISAH tiga minggu lalu tentang ketidakadilan seorang ibu dalam memberi bahagian harta pusaka milik arwah suaminya kepada anak-anak menyentuh hati saya untuk turut menceritakan masalah dihadapi oleh suami.
''Namun orang yang tidak berlaku adil itu bukanlah ibunya, tetapi kakaknya yang memegang amanah untuk adik-adik setelah ibu bapa mereka meninggal dunia. Sehingga kini lebih 20 tahun arwah meninggal dunia, pusaka itu masih tidak diagihkan mengikut faraid kepada anak-anak yang berhak.
''Sebaliknya kakak ipar saya itu, Kak Kay masih menguasai harta pusaka. Cuma sebahagian kecil diberikan kepada adik-adik perempuan manakala yang lelaki seramai tiga orang masih tidak mendapat hak mereka,'' ujar Noraien panjang lebar ketika saya hubungi setelah membaca e-melnya.
''Suami saya Miz memang tak suka bercakap pasal harta kerana tidak mahu hatinya sakit. Pernah dia bertanya pada Kak Kay tentang bahagiannya tetapi jawapan yang diterima amat memedihkan telinga. Kak Kay suka ungkit cerita lama kerana membesarkannya yang ketika itu bersekolah menengah.
''Masalahnya, bukan duit ringgit Kak Kay yang digunakan untuk beri makan minum mahupun belajar, semuanya harta peninggalan arwah, jadi janganlah ungkit cerita lama. Cerita itupun telah berlaku lebih 20 tahun, tentu banyak yang telah Kak Kay terima daripada imbuhan dan pulangan harta peninggalan arwah yang semuanya dalam genggaman Kak Kay.
''Saya berkahwin dengan Miz lebih enam tahun, kini dah ada dua anak, umur pun dah lebih 30 tahun. Saya reda hidup serba sederhana walaupun agak terhimpit setelah berhenti kerja untuk menjaga anak.
''Saya sedar saya tidak sepatutnya ikut campur dalam pembahagian pusaka tetapi sebagai isteri, saya kesian dengan Miz yang sering merasa terpinggir akibat sikap kakaknya.
''Mulanya saya tak tau perkara ini sehinggalah satu hari Miz meluahkan isi hatinya. Soalnya mengapa setelah lebih 20 tahun ibu dan ayah meninggal, Kak Kay masih tak mahu membahagikan pusaka kepada mereka adik beradik.
''Miz sendiri tidak tahu secara jelas harta milik arwah, kecuali ada sekali dua Kak Kay terlepas cakap dan daripada mulut saudara-mara. Kata Kak Kay, tapak tanah untuk rumah ada tiga lot khas untuk tiga adik beradik perempuan, tapi apa hal dengan tiga anak lelaki, kak Kay tak sebut pun?
''Setiap tahun Kak Kay akan buat kenduri arwah dan korban lembu, itu semua katanya duit hasil pusaka tanah getah dan kelapa sawit milik arwah. Bila ditanya berapa ekar semuanya, Kak Kay tak mahu beritahu secara jelas, alasannya tanah itu kongsi dengan emak saudara yang lain.
''Ditanya apakah tanah tersebut sudah dibahagi secara jelas, sebab tak mahu ada perbalahan kelak dengan emak-emak saudara lain, kata Kak Kay semua dia sudah bereskan. Malangnya kami sendiri tak tahu adakah tanah itu milik arwah ibu atau ayah mertua saya, di mana, di tanam kelapa sawit atau getah? Semuanya samar-samar.
''Sepatutnya, sebagai pemegang amanah dia harus memberitahu apa juga harta peninggalan arwah, di mana dan berapa jumlahnya, kemudian membahagikan semua pusaka itu mengikut faraid kerana adik-anaknya sudah berkeluarga dan Kak Kay sendiri hampir berusia 50 tahun. Nak tunggu berapa lama lagi.
''Saya tidak tahu kenapa Kak Kay enggan berbuat demikian. Mungkin takut bahagian yang diterimanya sedikit. Selagi dia tidak melaksanakan amanah yang dipikulnya, selagi itulah dia berdosa dan setahu saya, selagi itulah roh kedua-dua arwah terseksa kerana urusan dunia yang arwah tinggalkan masih belum selesai.
''Namun apa yang jelas kami lihat makan minum dan cara hidup keluarga Kak Kay anak beranak amat mewah. Bayangkan anaknya yang bersekolah rendah tak ke sekolah kalau belanja kurang RM10 sehari. Saya fahamlah kalau di KL atau kota besar tetapi kami bukan duduk di sana.
''Itu belum masuk jenama pakaian mereka, ansuran dua buah kereta besar, motosikal, gaji pembantu rumah dan belanja rumah besar mereka. Dianggarkan perbelanjaannya mencecah RM4,000 sebulan. Sedangkan Kak Kay hanya kerani sementara suaminya peniaga kecil. Jangan marah kalau kami tuduh atau mengumpat Kak Kay sebab perbuatannya yang membuatkan kami berfikiran begitu.
''Awal tahun seperti sekarang memang kami perlukan banyak wang untuk perbelanjaan keluarga terutama anak yang baru masuk sekolah. Pendapatan Miz pun kecil, sebab itu kami perlukan sedikit sebanyak pusaka arwah. Kami tak minta kalau tak ada. Ini arwah ada tinggalkan harta jadi salahkah kalau kami bertanyakan hak kami? Tapi macam biasalah Kak Kay buat bodoh.
''Saya pernah nasihatkan Miz, janganlah harapkan harta pusaka itu. Jadi kita kenalah cari sendiri. Adik beradik Miz yang lain tak berani bersuara, apa lagi nak bertanya, sebab takut Kak Kay tak beri langsung harta tersebut, jadi kena diam walaupun dalam hati semuanya tak puas hati, sering mengutuk dan mengumpat Kak Kay.
''Setahu saya, arwah mertua memiliki banyak barang kemas tapi semuanya Kak Kay simpan. Hingga kini tidak ada seorang pun anak-anak arwah dapat barang kemas tersebut walaupun sebentuk cincin. Apa yang jelas, badan Kak Kay dan anak-anak perempuannya yang masih kecil sarat dengan barang kemas!
''Tujuan saya bercerita bukan nak mengumpat tapi ingin menyedarkan Kak Kay supaya insaflah dan jalankan amanah seperti sepatutnya sebab anda akan dituntut kemudian hari,'' pesan Noraien menutup cerita tentang kakak iparnya.


Sumber: utusan online

Monday 20 February 2017

“Keputusan mahkamah, saya terpaksa akur bahawa anak angkat tak boleh warisi kesemua harta arwah.”



Assalamualaikum wrbt buat ibu-ibu, bapa-bapa pembaca budiman semua.

Izinkan untuk saya berkongsi dgn pembaca kisah yang berlaku kepada anak angkat kawan baik saya. Moga sama-sama kita ambil iktibar ya.

10 tahun lalu kawan baik saya atau saya kenali dengan nama Rifki (bkn nama sebenar) memulakan bisnes Pak Andam. Dah lama arwah minat dengan wedding planner jadi waktu tu arwah mula buat bisnes tu secara kecil-kecilan. Lama-lama bisnes arwah semakin meletop-letop. Banyak tempahan yang arwah dapat tak kira daripada golongan biasa atau VIP.

Kehidupannya yang mewah tidak sedikit pun menyebabkan arwah lupakan keluarga walaupun keluarganya telah membuangnya hanya disebabkan arwah nak jadi Pak Andam. Setiap bulan tak pernah missed, arwah mesti akan berikan duit perbelanjaan dekat ibu bapanya. Yelaa, adik beradik arwah pun tak bekerja. Macam mana nak tanggung ibu bapa di kampung.

Sampailah suatu hari, arwah membawa seorang budak berusia dalam 2 tahun berjumpa saya. Katanya itu anak angkatnya. Arwah sangat sayangkan anak angkatnya. Arwah belikan macam-macam supaya anak angkatnya merasa selesa tinggal bersama. Arwah pun tak kahwin masa tu, jadi sepenuh perhatian memang diberikan kepada anak angkatnya.

Sampailah suatu hari arwah pesan kepada saya melalui whatsApp,

“Beb, kalau suatu hari nanti aku dah takda, kau tolong make sure semua harta aku ni dapat dekat anak angkat aku. Aku nak masa depan dia terjamin walaupun aku dah takda. Jangan hantar dia ke rumah anak yatim. Kau tolong aku jaga dan besarkan dia. Tolong aku beb..”

Waktu awal tu saya memang rasa pelik bila arwah cakap macam tu tapi saya biarkan je sampailah arwah beritahu untuk kali yang kedua dengan menggunakan voice mail whatsApp dan minta untuk saya simpankannya sebagai bukti di mahkamah nanti (jika diperlukan).

Tiga bulan selepas arwah hantar mesej tu, arwah terlibat dalam satu kemalangan dan meninggal di tempat kejadian. Jadi bermula hari itu saya mula menjaga anak angkatnya sampailah suatu hari saya ada bisnes trip ke Hong Kong. Jadi saya mengambil keputusan untuk menghantar anak angkat tadi untuk dijaga sementara oleh kakak arwah.

Alangkah terkejutnya saya, sebaik saya pulang semula ke Malaysia dan ingin mengambil anak tadi, kakak arwah memberitahu bahawa anak tersebut telah dihantar ke rumah anak yatim.

Saya tidak berpuas hati dengan tindakan kakak arwah. Bukan sahaja anak tadi dihantar ke rumah anak yatim tetapi harta arwah turut dibolotnya. Saya tidak berfikir panjang, saya terus membuat tuntutan harta pusaka arwah.

Prosesnya memang agak rumit disebabkan wasiat yang dibuat takda hitam putih tapi dengan sedikit bukti yang ada saya usahakan juga demi amanat yang telah diberikan arwah kepada saya. Saya tahu anak angkat tadi tak selesa berada di rumah anak yatim. Pasti asing bagi seorang kanak-kanak yang sebelum ini dibelai dan dimanja tiba-tiba terpaksa hidup di rumah anak yatim yang suasananya memang 360 darjah berbeza daripada sebelumnya.

Saya cuba usaha dan pertahankan hak anak tadi supaya kesemua harta diwarisi oleh anak angkat arwah. Menurut saya, arwah mungkin tidak mahu hartanya diwarisi oleh adik beradiknya kerana mereka pernah mencaci dan menghina arwah. Betapa bencinya adik beradik terhadap arwah. Pada waktu tu ibu bapa arwah pun dah meninggal. Waris arwah yang tinggal hanya adik beradiknya sahaja.

Namun, selepas keputusan mahkamah dikeluarkan saya seperti tidak percaya walau macam mana buruk sekalipun layanan adik beradik terhadap arwah mereka tetap mewarisi harta tersebut. Hasrat arwah untuk memberikan kesemua harta kepada anak angkatnya tidak tercapai. Saya terpaksa akur dengan keputusan mahkamah, wasiat yang dibuat tak membenarkan anak angkat mewarisi kesemua harta arwah.

Selepas peristiwa di mahkamah tu barulah saya tahu bahawa wasiat yang dibuat kepada anak angkat tadi hanya sah sebanyak 1/3 daripada keseluruhan harta si mati. Selebihnya menjadi hak waris-waris faraid si mati tak kira walau bagaimana buruk sekalipun layanan mereka terhadap arwah.

Dan pada hari ini, apabila saya menjaga anak syurga tadi saya telah membuat hibah siap-siap semasa hidup buat anak tadi. Saya tidak mahu andai suatu hari nanti saya tiba-tiba meninggal, anak angkat yang saya bela terpaksa hidup merempat.

Saya kongsikan cerita ini sebab saya tahu ramai diluar sana yang tak tahu perkara ini. Diharapkan apa yang saya kongsikan sedikit sebanyak dapat membantu ibu bapa yang mempunyai anak angkat untuk membuat perancangan harta pusaka semasa masih hidup lagi sebab anak angkat tak dapat mewarisi harta pusaka kita melainkan dengan kaedah hibah atau wasiat 1/3 sahaja.

Sunday 19 February 2017

BIJAK PUSAKA KES 2



Asalamualaikum,
Si ayah (A) telah meninggal dunia dan telah meletakkan penama harta-hartanya kepada nama isteri.

Malangnya beberapa tahun kemudian si isteri pula meninggal dunia tanpa sempat membuat apa-apa pembahagian harta penama tersebut.

Soalan : Siapakah yang berhak keatas harta penama tersebut? Anak-anak perkongsian si A dan isteri shj? Atau adik beradik si isteri pun mempunyai hak?


JAWAPAN

1) Soal penama.
A = ayah, meninggal dan meletakkan isteri sebagai penama kepada harta-hartanya.

Memahami maksud "penama".

Penama bukanlah pemilik mutlak harta-harta tersebut. Penama hanyalah wasi atau pemegang amanah kepada harta-harta tersebut. Maka, menjadi tanggungjawab penama untuk menyelesaikan pembahagian pewarisan harta pusaka mengikut muafakat @ faraid.

Isteri meninggal tanpa membuat apa-apa pembahagian. Maka status harta pusaka masih belum diurus tadbir.

2) Waris yang berhak ke atas harta si A.

Situasi 1.
Waris yang berhak adalah ibu, ayah, Isteri si A dan anak-anak sahaja jika mempunyai anak lelaki.
(Jika ibu dan ayah si A masih hidup semasa kematian si A)

Situasi 2.
Waris yang berhak adalah ibu, ayah, isteri, anak-anak (perempuan) serta adik beradik lelaki dan perempuan si A.
(Bergantung pada struktur faraid semasa kematian si A)

3) Apabila isteri meninggal sebelum sempat diurus pusaka si A

Situasi 1
Bahagian isteri 1/8 akan dibahagi pula mengikut struktur faraid isteri. Perlu dilihat pula siapa waris-waris isteri seperti ibu, ayah, anak-anak sahaja jika mempunyai anak lelaki. (Jika ibu dan ayah si isteri masih hidup semasa kematian si isteri)

Situasi 2
Waris yang berhak adalah ibu, ayah, anak-anak (perempuan) serta adik beradik lelaki dan perempuan si isteri. (Bergantung pada struktur faraid semasa kematian si isteri).

Keadaan ini dipanggil kematian berlapis. Waris menjadi semakin ramai apabila urusan pusaka tidak segera diurus.

Wallahu'alam

Sebelum pembahagian harta pusaka dibuat, waris perlu tahu beberapa ‘pemotong’ yang perlu dilalui oleh harta pusaka

Lumrah kehidupan setiap yang hidup pasti akan mati. Segigih mana harta yang kita cari semasa hidup tetap tidak boleh dibawa mati kecuali 3 perkara iaitu ilmu yang bermanfaat, sedekah jariah dan doa anak yang soleh.
Apabila ajal menjemput seseorang maka sesaat selepas itu harta yang selama ini menjadi miliknya telah bertukar tangan menjadi milik waris-waris yang berhak. Anda meninggal jam 3.30pm, maka pada jam 3.31pm harta anda telah menjadi harta waris dan ia perlu difaraidkan. Lambat diurus maka akan timbullah isu-isu lain yang akan menyebabkan proses pembahagian harta menjadi semakin rumit. Waris-waris mula bertelagah, hubungan makin renggang, doa kepada si mati kian dilupakan yang sentiasa disebut hanyalah kemarahan atau rungutan kerana sukarnya mengurus pusaka si mati.
Namun, buat mereka yang masih mempunyai jiwa suci yang ingin segera menyelesaikan urusan amanah harta si mati didunia maka ada beberapa perkara perlu diketahui sebelum pembahagian harta pusaka dibuat kerana adanya beberapa 'pemotong' yang perlu dilalui oleh harta pusaka.
  • Pembayaran Mengenai Urusan Pengebumian. Ini hanya terhad kepada upah berkaitan urusan pengebumian. Kenduri-kendara atau pemberian hadiah kepada tetamu yang hadir perlu dari poket waris sendiri – tidak dibenarkan menggunakan harta pusaka untuk perbelanjaan ini.
  • Urusan Hutang-piutang sama ada kereta, rumah, hutang kepada bank seperti pinjaman peribadi dan pinjaman daripada rakan-rakan.
  • Urusan Percukaian yang tertunggak atau zakat yang masih belum diselesaikan.
  • Hibah. Waris juga perlu tahu, samada ketika hidup arwah ada meng-hibahkan harta tertentu kepada insan tertentu. Sudah pasti, harta dihibahkan tidak boleh difaraidkan. Juga, pastikan perjanjian hibah itu mempunyai dokumen hitam dan putih.
  • Harta Sepencarian. Adakah harta sepencarian dimiliki bersama isterinya; misalnya rumah, hartanah tertentu, kenderaan dan simpanan tertentu? Mempunyai dokumen deklarasi harta sepencarian adalah lebih memudahkan urusan tuntutan harta sepencarian.
  • Wasiat 1/3. Bagaimana dengan wasiat, adakah arwah telah mewasiatkan 1/3 dari harta untuk tujuan amal jariah. Adakah arwah ada menyediakan wasiat melantik pentadbir harta pusakanya.
Setelah kesemua ini diketahui dan diselesaikan, barulah harta pusaka itu di Faraidkan. Segalanya dapat dipermudahkan sekiranya sewaktu hidup, pemilik harta telah merancang harta pusakanya. Waris-waris tidak perlu bertelagah atau bermasam muka. Hubungan kekeluargaan terus kekal bahagia.
Mereka yang mempunyai harta walaupun sebuah rumah atau sebuah kereta atau wang simpanan perlu membuat perancangan harta pusaka walaupun dengan hanya membuat sesuatu yang boleh membantu percepatkan urusan tuntutan harta pusaka.